7 Tips Pilih Bingkai Kaca Mata Bagi Si Manis Bertudung
Seseorang yang bertudung boleh kelihatan berbeza apabila memakai kaca mata atau tidak. Ini kerana bingkai kaca mata turut memberi kesan kepada tudung, yang mana selalunya menjadikan tudung pemakai kelihatan kembang. Hal ini seterusnya menjadikan penampilan pemakainya kelihatan pelik dan kurang menarik. Justeru itu, terdapat beberapa tips yang boleh anda ikuti apabila memilih bingkai kaca mata. Ia amat penting untuk mengelakkan kesilapan yang boleh menjadikan penampilan anda kurang menarik. Mari lihat tips-tips berikut:
1. Pakai tudung yang anda selalu guna semasa membeli kaca mata yang baru
Tips ini adalah langkah utama dan penting yang mesti diketahui sebelum membeli kaca mata yang baharu. Ingin tahu kenapa? Ini kerana dengan memakai jenis tudung yang anda selalu gunakan, ia dapat mengelak dari memilih bingkai yang salah. Sesetengah tudung akan menjadi kembang dan membuatkan anda sukar tampil bergaya dengan tudung tersebut. Sebagai contoh, sekiranya anda seorang pemakai tudung bawal sejati, pakai tudung bawal semasa memilih bingkai kaca mata dan pastikan tudung anda tidak kelihatan kembang dan cantik terbentuk dengan bingkai kaca mata yang dipilih. Perkara ini juga sama bagi pemakai setia selendang, tudung awning dan lain-lain.
2. Pilih saiz bingkai yang bersesuaian dengan muka
Bagi yang bertudung, kriteria ini juga penting dalam memilih bingkai kaca mata. Ini kerana saiz bingkai yang salah akan menjadikan penampilan anda kelihatan kurang menarik dan saiz bingkai yang bersesuaian pula akan menyelesakan pemakainya. Pastikan ia tidak terlalu kecil ataupun besar. Saiz bingkai yang kecil akan merosakkan spring bingkai kerana perlu dibuka dengan lebih besar semasa anda memakainya. Manakala, saiz yang besar pula akan kelihatan lebih panjang dari bahagian tepi muka anda.
3. Pilih temple yang halus dan lurus
Hal ini terpulang kepada cita rasa masing-masing. Tetapi, memilih temple yang halus dan lurus adalah lebih praktikal kepada para gadis mahupun wanita yang bertudung. Ini disebabkan apabila anda menanggalkan cermin mata, bahagian temple yang halus dan lurus dapat mengurangkan rambut anda yang terkeluar. Bagi para Muslimah, ini harus ditekankan agar aurat sentiasa terjaga rapi dan sempurna. Namun sekiranya anda lebih berminat dengan temple yang bercorak, masih tiada masalah cuma pastikan anda berhati-hati apabila perlu menanggalkan kaca mata. Selain daripada menjaga aurat anda, ia juga penting dalam memastikan penampilan yang kemas dan menarik.
4. Bagi yang gemar bersukan atau yang kuat berpeluh, pilih temple yang bersifat anti-karat atau plastik
Tidak semua orang di dunia ini serupa. Ada yang gemar bersukan, ada yang lebih gemar duduk di rumah, ada yang mudah berpeluh dan sebagainya. Disebabkan perbezaan keperluan ini, pelbagai jenis bingkai kaca mata yang telah disediakan. Bagi gadis yang aktif bersukan, pilihan temple yang anti-karat atau plastik adalah pilihan bijak untuk anda. Apabila bertudung, bahagian ini akan sentiasa ditutupi oleh tudung dan apabila bersukan ataupun berpeluh, secara tidak langsung peluh akan melekat di bahagian temple tersebut. Kandungan air dan natrium klorida di dalam peluh ini sememangnya membantu mempercepatkan proses pengaratan untuk bingkai kaca mata daripada besi. Oleh itu, pastikan anda bijak memilih mengikut keperluan anda agar tidak mengalami kerugian.
5. Bawa rakan atau pasangan bersama untuk mendapatkan pandangan dari mereka
Dua lebih baik daripada satu, pernah dengar bukan? Tidak dapat dinafikan lagi kadang-kadang dalam satu perkara, pandangan dari pihak kedua atau yang lain sangat membantu dalam memilih dan membuat keputusan dengan bijak. Begitu juga dalam pemilihan bingkai kaca mata, pandangan dari kawan ataupun pasangan anda adalah sangat membantu dalam menentukan bingkai yang bersesuaian. Pandangan luaran yang jujur dan ikhlas itu juga akan membantu anda dalam membuat keputusan terbaik. Jadi, aturkan temu janji bersama teman mahupun pasangan sebelum pergi ke kedai kaca mata.
6. Pilih kaca mata bingkai penuh sekiranya preskripsi anda sangat tinggi
Ada sesetengah individu yang mula rabun dari kecil lagi dan hal ini menyumbang kepada preskripsi power kaca mata yang tinggi sehingga dewasa. Bagi para gadis dan wanita yang bertudung, pemakaian kaca mata turut menjadi satu fokus tumpuan. Oleh itu, mereka yang mempunyai power yang tinggi, pilihlah bingkai penuh atau separuh penuh agar kanta yang tebal tidak mempengaruhi penampilan anda. Namun sekiranya anda memilih kanta jenis high indeks (nipis) atau saiz bingkai rimless yang kecil, tips ini boleh diabaikan.
7. Memakai kanta sentuh
Sebut sahaja kanta sentuh, pasti ramai yang akan memilih opsyen ini kerana ia lebih mudah dan anda tidak perlu risau seperti memilih bingkai kaca mata. Namun, pemakaian kanta sentuh juga mempunyai kebaikan dan keburukannya. Sekiranya anda memilih opsyen ini sebagai penyelesaian kepada masalah anda, pastikan anda berhati-hati dan mengambil berat mengenai kebersihan pemakaian kanta sentuh. Ini sangat penting dalam mengelak perkara seperti jangkitan kuman kepada mata yang boleh menjadi satu masalah besar jika tidak ditangani.
Dengan adanya tips-tips ini, diharap akan dapat membantu para fesyenista Muslimah dalam memilih bingkai kaca mata yang bersesuaian, sekali gus kembali yakin untuk berfesyen dan bergaya meskipun memakai kaca mata. Bukan itu sahaja, tips-tips ini juga akan dapat menyelamatkan poket anda kerana harga kaca mata tidaklah semurah yang disangka. Better safe than sorry, you know!